Pages

Saturday, April 16, 2011

Bagaimana Kalau Malaysia Masih Di Bawah Pemerintahan Jepun???


Mahamalaya


Sila baca siri pertama untuk mereka yang baru turut serta.

Seperti yang tercatat dalam ‘sejarah alternatif’ kita, Perang Dunia Ke-2 tamat pada 15 Jun 1942, 3 tahun lebih awal dari sejarah yang sebenar.

Pakatan Axis menguasai hampir 75% dari Dunia Lama yang merangkumi benua Eropah, Asia dan Afrika. Wujud beberapa negara merdeka lain tetapi akibat tekanan dari kuasa besar Axis (Jerman, Jepun, Soviet dan Itali) mereka terpaksa bersekutu di bawah sfera pengaruh fasisme-sosialisme dan tidak lebih dari sekadar negara boneka atau negara satelit seperti di timur Eropah dalam era Perang Dingin.

Britain (dan dominion mereka iaitu Australia, New Zealand dan Afrika Selatan) bersama Amerika Syarikat dan negara-negara di benua Amerika yang lain dikenali sebagai pihak Bersekutu dan menjadi benteng pertahanan demokrasi terakhir di dunia.

Di antara fahaman fasisme-sosialisme yang bernaung di bawah Axis dan fahaman demokrasi-kapitalisme di bawah panji Bersekutu, kita melalui senario yang mirip seperti era Perang Dingin.

Jika Axis yang menang dalam Perang Dunia Ke-2 maka pastilah dunia kita hari ini berbeza dari apa yang kita kenali. Sempadan politik pastinya berbeza, cara hidup berubah begitu juga dengan struktur ekonomi, kemajuan teknologi dan sebagainya.

Malaysia tidak wujud pastinya. Bahkan mungkin apa yang wujud ialah sebuah negara boneka atau satelit yang merupakan klien kepada Empayar Jepun, dikenali dengan nama Mahamalaya.

Mahamalaya ialah idea yang pernah diutarakan dalam konsep Greater East Asia Co-Prosperity Sphere, sebuah konsep di mana wujudnya satu blok negara-negara Asia yang diketuai Jepun dan bebas dari penjajahan negara Barat. Kita andaikan, Mahamalaya ini gabungan antara Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura hari ini.

Tetapi gabungan ini tidak termasuk negeri Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu yang diserahkan oleh Jepun kepada Thailand sebagai balasan kerana menjadi sekutu dan membantu Jepun dalam memerangi Britain ketika Perang Dunia Ke-2. Maka sesiapa yang lahir di 4 negeri tersebut pada hari ini merupakan rakyat Thailand dan subjek kepada Raja Thai, tidak mustahil juga ditindas sebagaimana nasib orang Melayu di Pattani seperti masa kini.

Merdeka dan bebaskah Mahamalaya ini?

Walaupun konsep Greater East Asia Co-Prosperity Sphere ini bercakap mengenai blok negara-negara Asia dan slogan ‘Asia untuk orang Asia’ digunakan secara meluas oleh propaganda Jepun kononnya mereka mahu membebaskan Asia dari jajahan Barat, hakikat yang sebenarnya ialah sangat berbeza.

Greater East Asia Co-Prosperity Sphere tidak lebih dari satu corak imperialisme baru di bawah Jepun. Selepas memenangi Perang Dunia Ke-2, janji-janji kemerdekaan hanya tinggal janji. Jika kita merdeka sekalipun berkemungkinan negara kita tidak lebih sekadar dari negara boneka.

Tapi bukankah Jepun seperti yang kita ketahui hari ini pasifis dan demokratik?

Jepun yang kita ketahui hari ini ialah Jepun yang kalah dalam Perang Dunia Ke-2. Setelah kalah dalam perang, satu perubahan atau revolusi besar yang berlaku di Jepun ialah penolakan masyarakat Jepun ke atas fahaman militaris mereka. Jepun mengubah ideologi percaya bahawa kekuatan tentera sebagai syarat untuk menjadi kuasa kepada menjadikan kekuatan ekonomi sebagai cara mereka menguasai dunia.

Tetapi sebelum dan ketika Perang Dunia Ke-2, Jepun adalah sebuah negara imperialis, militaris dan fasis. Pengaruh tentera berakar umbi dalam struktur politik dan masyarakat Jepun dalam apa yang dikenali sebagai Nihon gunkoku shugi atau militarisme Jepun. Jepun pada masa itu percaya bahawa hanya ketenteraan saja yang boleh menjamin kesejahteraan negara matahari terbit ini dan mampu meletakkan Jepun sebagai salah satu kuasa dunia. Melalui slogan Fukoku kyohei (kayakan negara, kuatkan tentera), kekayaan negara dan kekuatan tentera adalah saling berkait rapat. Dengan berolehnya kemenangan dalam Perang Dunia Ke-2, kepercayaan ini pastinya semakin kukuh di Jepun.

Maka bagaimanakah rupa Mahamalaya (Malaysia hari ini) yang masih kekal di bawah pemerintahan Jepun?

Lupakan mengenai Nissan GT-R, Sony Internet TV, robot Honda Asimo mahu pun Maria Ozawa versi Melayu. Semua itu tidak akan berlaku dalam Mahamalaya yang diterapkan dengan fahaman ketenteraan yang ketat.

Sistem politik kita akan mengikut acuan fasisme di mana elemen tentera mempunyai pengaruh yang kuat. Mahamalaya mungkin sebuah negara yang kononnya merdeka tetapi ia masih di bawah naungan Jepun. Malahan para pemimpin politik Mahamalaya mestilah datang dari calon-calon yang dipersetujui oleh pihak tentera terlebih dulu. Kebebasan bersuara adalah sangat terhad dan setiap rakyat dikehendaki menanam kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada Maharaja dan Empayar Jepun.

Raja-raja Melayu, jika bernasib baik akan kekal sebagai tidak lebih dari ketua adat dan agama. Raja yang layak disembah hanyalah Maharaja Jepun selaku pewaris tuhan Amaterasu. Kita semua diterapkan dengan doktrin bahawa “kehidupan seorang hamba ialah kesetiaan kepada Maharaja lebih dari dirinya sendiri, lantas mengukuhkan kewujudan bersama Takhta Imperial dengan Syurga dan Bumi” (Hakko ichiu, dunia di bawah satu takhta).

Kebebasan beragama mungkin dikekalkan tetapi hanya agama Shinto yang diiktiraf sebagai satu-satunya kepercayaan yang direstui oleh Maharaja.Sedikit sebanyak kita juga perlu mempelajari tatacara Shinto dalam kehidupan. Maka mungkin kita beragama Islam tetapi pada masa yang sama menerapkan unsur Shinto sebagai budaya kehidupan. Tidak mustahil juga diwajibkan sesiapa yang ingin berkhidmat dalam kerajaan perlulah mengetahui selok-belok kepercayaan Shinto secukupnya.

Konskripsi atau kerahan tentera adalah wajib untuk semua lelaki di Mahamalaya. Malahan ianya prasyarat untuk sesiapa yang mahu bergiat dalam politik di masa akan datang. Kaum wanita pula seperti mana dalam fahaman fasis dilihat lebih memainkan peranan sebagai penyambung zuriat dan tempatnya sebagai surirumah. Struktur masyaraat kita akan mirip kepada struktur di Jepun dan ianya konservatif.

Pendidikan diberikan dalam bahasa Jepun dengan bahasa Melayu (bercampur unsur Indonesia) dijadikan bahasa sekunder. Setiap dari mereka yang ingin berkhidmat dalam kerajaan juga diwajibkan lulus subjek bahasa Jepun. Pendidikan kita pastinya digunakan sebagai medium utama untuk menyebarkan propaganda Jepun serta platform untuk menerapkan kebudayaan Jepun dalam masyarakat Mahamalaya. Kita juga akan diajar kapitalisme itu korup dan demokrasi akan hanya melemahkan sebuah negara.

Tidak ada hak-hak keistimewaan kepada orang Melayu. Setiap kaum di Mahamalaya adalah sama taraf tanpa mengira warna kulit dan kepercayaan. Yang penting ialah sama ada individu itu setia kepada Maharaja dan menjadi seorang rakyat yang patuh. Tetapi kita semua akan dididik bahawa bangsa Jepun ialah ketua segala bangsa di Asia sesuai mengikut ajaran Yamato Race As Nucleus. Oleh itu sesiapa yang mempunyai darah Jepun dalam dirinya akan mempunyai kelebihan. Ramailah mungkin wanita tempatan yang berkahwin dengan lelaki Jepun.

Ekonomi Mahamalaya pastinya berkembang dengan pesat tetapi sebagai pembekal sumber kepada Empayar Jepun. Di awal selepas tamatnya Perang Dunia Ke-2 ekonomi kita tertumpu kepada bidang pertanian seperti penanaman getah dan padi. Kemudiannya ia berkembang kepada perladangan kelapa sawit sementara minyak dan gas Mahamalaya merupakan sumber bahan api utama untuk Jepun. Namun begitu senario di mana kilang-kilang elektronik atau automotif Jepun dibuka di Mahamalaya tidak akan berlaku kerana tidak adanya faktor tenaga buruh murah dalam sebuah ekonomi sosialis. Jepun lebih berminat melihat seluruh Mahamalaya sebagai kilang pertanian dan sumber galian untuk Greater East Asia Co-Prosperity Sphere, cuma kelebihannya pertanian di Mahamalaya dijalankan dengan teknologi yang lebih maju dan efisien dari apa yang kita ada hari ini.

Namun begitu kehidupan yang dipengaruhi fahaman fasisme dan unsur militaris menjadikan kita semua warga yang lebih berdisiplin. Penerapan budaya Jepun semenjak di sekolah lagi sedikit sebanyak mengubah corak kehidupan kita lebih ke arah kehidupan lazimnya orang-orang Jepun. Paling tidak kita lebih rajin,lebih efisien dan menepati masa.

Mahamalaya pada 2011 adalah sebuah negara yang kini telah berada di bawah naungan Jepun 69 tahun lamanya. Ia sudah mencecah hampir 3 generasi lamanya dan mereka yang ada hari ini (kita khususnya) adalah generasi yang lahir di bawah naungan Empayar Jepun. Kebudayaan kita lebih abstrak, bercampur aduk antara Melayu, Cina dan India. Dengan wilayah-wilayah Hindia Timur Belanda (Indonesia hari ini) turut diserap masuk ke dalam Mahamalaya maka kebudayaan Melayu atau Nusantara menjadi dominan yang turut dipengaruhi unsur kebudayaan Jepun tradisional.




Pemerintahan Jepun?

Nippon Go!


Hari Ahad lepas aku pos status di Facebook selesai menonton marathon dokumentari WWII Lost Films, berbunyi:

“Just done watching a marathon of WW2 documentaries for 10 hours, felt like I have been living through the war itself”

Macam biasa status itu mengundang komen dan salah satunya dari seorang rakan yang mengatakan jika Jepun tidak mengebom Pearl Harbor maka mungkin Amerika Syarikat tidak menyertai perang yang menjadikannya kuasa besar dunia merangkap polis dunia. Dunia hari ini pastinya berbeza dari apa yang kita ketahui.

Susulan dari itu membawa kepada perbincangan bagaimana agaknya jika Jepun masih memerintah Malaysia? Mungkinkah cara hidup kita mirip kepada maysarakat Jepun? Mungkinkah kita ini maju seperti Jepun hari ini? Mungkinkah kereta yang dipandu ialah Nissan GT-R, televisyen di rumah ialah Sony Internet TV dan robot Honda Asimo membantu menyiramkan pokok cili kita di belakang rumah? Mungkin pasukan bolasepak kita setiap 4 tahun bermain di Piala Dunia agaknya?

Atau mungkin kita mempunyai ribuan video AV dan gadis tempatan kita sama hebat seperti Maria Ozawa?

Bagaimana kalau Malaysia masih di bawah pemerintahan Jepun?

Bagaimana Kalau – What If

Persoalan What If (Bagaimana Kalau) adalah persoalan yang kerap dibangkitkan dalam konteks ‘alternate history’ atau ‘counterfactual history’. ‘Bagaimana kalau’ kerap dipersoalkan dalam membincangkan sesuatu peristiwa sejarah yang berlaku sebaliknya. Sebagai contoh, bagaimana kalau Portugis gagal menakluk Melaka?

Perang Dunia Ke-2 kerap dijadikan ‘point of divergence’ dalam penulisan fiksyen bergenre ‘alternate history’ ini. Dan untuk membincangkan soal bagaimana kalau Malaysia masih di bawah pemerintahan Jepun kita perlu berpatah balik ke Perang Dunia Ke-2. Untuk itu berlaku, Kuasa Paksi (Axis) perlu menang dalam Perang Dunia Ke-2 atau paling tidak berjaya memaksa Kuasa Bersekutu (Allies) untuk duduk di meja rundingan membincangkan gencatan senjata.

Tetapi kita tahu dalam sejarah, Axis tumpas di tangan Allies sebaik sahaja Jepun mengebom Pearl Harbor. Kemasukan Amerika Syarikat mengubah imbangan kuasa dan kuasa-kuasa Axis hanya menunggu masa untuk mengangkat bendera putih.

Jadi apa senario yang perlu kita ubah untuk menjamin kemenangan Axis?

Senario Yang Memungkinkan Kemenangan Axis
Pada Oktober dan November 1940, Kesatuan Soviet di bawah pemerintahan Joseph Stalin cuba untuk memujuk Adolf Hitler supaya menerima Soviet sebagai kuasa ke-4 dalam Axis Pact.


Stalin - Peminat Axis


Soviet dan Jerman sebelumnya telah pun memeterai satu perjanjian yang dinamakan Molotov-Ribbentrop Pact pada 23 Ogos 1939. Perjanjian ini bersifat ‘non-aggression’ di mana kedua negara berjanji untuk tidak menyerang satu sama lain. Menyusul dari Molotov-Ribbentrop Pact ialah Perjanjian Komersil Jerman-Soviet 1939 dan juga 1940 di mana Soviet bersetuju membekalkan minyak, galian mineral, produk pertanian seperti gandum dan kapas kepada Jerman yang akan membalasnya dengan bahan perkilangan seperti mesin, senjata serta perpindahan teknologi.

Perang Dunia Ke-2 meletus pada 1 September 1939 apabila Jerman menyerang Poland. Britain dan Perancis pantas mengiystiharkan perang ke atas Jerman. Soviet memilih untuk berkecuali dan menghormati Molotov-Ribbentrop Pact dan memenuhi komitmen mereka dalam membekalkan sumber bahan mentah yang diperlukan industri perang Jerman.

Pendirian Joseph Stalin ketika itu ialah untuk melihat pihak manakah yang berpotensi menang. Soviet kemudian akan menyertai pihak yang hampir beroleh kemenangan bagi memastikan mereka juga mendapat keuntungan rampasan perang.

Apabila Perancis berjaya ditakluki pada 25 Jun 1940 dan Britain keseorangan berhadapan dengan Jerman (dan Itali), Joseph Stalin sedar masanya sudah tiba untuk Soviet milih berada di pihak yang mana. Axis Pact dimeterai pada 27 September 1940 antara Jerman, Itali dan Jepun.

Perbincangan Axis Jerman-Soviet
Bermula dari Oktober hingga November 1940, Soviet melalui Menteri Luar Vyacheslav Molotov telah membuka perbincangan dengan rakan sejawat di Jerman iaitu Joachim von Ribbentrop mengenai kemungkinan kemasukan Soviet sebagai kuasa ke-4 Axis. Molotov turut bertemu dengan Adolf Hitler dalam membincangkan beberapa isu sensitif yang menjadi duri dalam daging hubungan Jerman dan Soviet.

Suasana ketika perbincangan ini sangat positif. Pihak ketenteraan Jerman dan pemimpin politik lain mengalukan kemasukan Soviet ke dalam Axis Pact sementara Joseph Stalin juga serius dalam menjayakan perbincangan ini. Pada 25 November 1940 Stalin mengusulkan 5 protokol sebagai kondisi penerimaan Soviet sebagai kuasa ke-4 antaranya jaminan Soviet tidak akan meluaskan pengaruh ke bahagian timur Eropah dan juga satu perjanjian komersil baru yang sangat menguntungkan Jerman.

Tetapi Jerman tidak pernah membalas tawaran Soviet dan Adolf Hitler yang bangang menyerang Soviet pada 22 Jun 1941.


Hitler - Bangang!


Bagaimana Kalau Yang Berlaku Sebaliknya?
Adolf Hitler pada malam 25 November 1940 bersetuju menerima tawaran Joseph Stalin sebagai balasan penerimaan Soviet sebagai kuasa Axis ke-4. Itali dan Jepun juga tidak menolak dan kesemua 4 kuasa Axis memeterai pakatan mereka pada 30 November 1940 yang antara lainnya turut memuatkan perancangan untuk order baru dunia.




Dengan bantuan bahan mentah dari Soviet, Jerman berupaya untuk meneruskan kempen serangan udara ke atas Britain dan bersama Itali memerangi tentera Britain di utara Afrika. Britain terpaksa mengerah lebih ramai tentera dari koloni mereka di Kanada, Australia, India dan juga Malaya, sekaligus melemahkan pertahanan mereka di Timur Jauh.

Salah satu protokol yang ditawarkan Stalin ketika cuba membawa masuk Soviet ke dalam Axis Pact ialah sfera pengaruh Soviet ialah ke selatan dari Baku di Azerbaijan. Ke selatan dari Baku ialah Iran dan Iraq. Menjelang Januari 1941 tentera Soviet menyeberangi sempadan dan menakluki Iran (yang di bawah pemerintahan Reza Shah Pahlavi. Di Iraq Perdana Menteri Rashid Ali yang pro-Axis telah memberi kebebasan untuk tentera Soviet melalui Iraq bagi melancarkan serangan ke atas tentera Britain di Syria, Lebanon, Palestin dan Jordan.

Jepun mengebom Pearl Harbor lebih awal pada Jun 1941 dan serentak dengan itu tenteranya menyerang Indochina, Filipina, Hindia Timur Belanda dan juga Malaya. Pada masa yang sama Soviet mula melancarkan serangan ke atas China di sepanjang sempadan mereka dan ini memberi kelebihan kepada Jepun untuk menumpukan lebih ramai tentera mereka di Asia Tenggara. Menjelang Ogos 1941 tentera Jepun telah menjangkau ke New Guinea di selatan dan Burma di barat. Amerika menyertai perang sebaik sahaja Pearl Harbor dibom.

Kejayaan Axis menyemarakkan sentimen nasionalisme di India dan pejuang kemerdekaan Subhas Chandra Bose, dengan bantuan Jepun berjaya menubuhkan Indian National Army yang besar dari kalangan diaspora India di Asia Tenggara dan bekas tentera British India dalam tahanan Jepun. Melalui Burma tentera India bersama Jepun melancarkan serangan sementara tentera Soviet di Iran menyerang dari barat. Elemen tentera Britain di India tumbang pada November 1941.


Subhas Chandra Bose dan tentera Jerman pernah menubuhkan Indische Legion


Menjelang Disember 1941 tentera Britain di utara Afrika telah menyerah kalah setelah dikepung oleh Jerman dan Itali di barat dan Soviet di timur. Seluruh benua Afrika kini terdedah kepada serangan kuasa Axis. Sebarang tentangan dari tentera China di pedalaman China berjaya dihapuskan oleh tentera Soviet dan Jepun sebelum tamatnya tahun 1941.

Di Pasifik angkatan laut Amerika memerangi tentera laut Jepun dan beroleh beberapa siri kemenangan. Kelebihan industri Amerika ditumpukan kepada usaha perang. Amerika menghantar tentera dan senjata ke Britain yang diancam Jerman dan juga Australia yang dibayangi Jepun.

Adolf Hitler, pada Mac 1942 berjaya memujuk Sepanyol dan Turki untuk menyertai Axis Pact yang pada masa ini dianggotai oleh 4 kuasa utama dan 10 negara kecil yang lain. Di Britain, serangan udara berterusan selama lebih setahun lamanya yang ketika waktu ini dilancarkan oleh tentera udara Jerman dibantu oleh Itali dan Soviet, akhirnya membawa kepada sentimen kegusaran perang di kalangan rakyatnya.

Winston Churchill, ditekan oleh rakyat Britain akhirnya menyambut tawaran gencatan senjata oleh kuasa Axis pada Mei 1942. Britain terpaksa menamatkan perang mengakibatkan Amerika berseorangan dalam menentang kuasa Axis. Angkatan tentera Amerika di Britain dan Australia dilarang dari melancarkan serangan ke atas pasukan tentera Axis.

Franklin D Roosevelt, setelah ditekan oleh Kongres akhirnya bersetuju untuk menamatkan perang ke atas Axis dan menandatangani gencatan senjata pada 15 Jun 1942, yang juga merupakan tarikh tamatnya Perang Dunia Ke-2. Penguasaan di Pasifik adalah 50-50 untuk Jepun dan Amerika. Tidak ada bom atom digugurkan untuk menamatkan perang.

Dari Eropah, kecuali Britain, hinggalah ke Afrika dan benua Asia, hampir setiap inci muka bumi dikuasai sama ada Jerman, Itali, Soviet atau Jepun. Beberapa kerajaan boneka muncul seperti Manchukuo, Iraq dan juga Thailand. India muncul sebagai negara sosialis atau fasis dan turut menyertai blok Axis.

Amerika Syarikat bersama negara-negara benua Amerika yang lain mewujudkan pakatan Demokrasi untuk mempertahankan benua Amerika dari ancaman Axis. Turut serta ialah Britain dan dominion yang masih ada yakni Kanada, Australia, New Zealand dan Afrika Selatan.

Malaya kekal di bawah takluk Empayar Jepun dan digabungkan dalam apa yang digelar Greater East Asia Co-Prosperity Sphere.

Tentang bagaimana kalau Malaysia masih di bawah pemerintahan Jepun, kita sambung esok (dah panjang sangat artikel ini).


Asia Untuk Orang Asia!

No comments:

Post a Comment